Thursday, January 13

Ya Allah

Ya Allah, Ya Tuhanku...

Kau ampunilah dosa-dosaku. Dosa ibu bapaku, suamiku, adik, anak, saudara, rakan dan seluruh umat Islam di dunia ini, ya Allah!

Kau permudahkanlah urusan kami di dunia ini... Berikanlah kami kekuatan. Berikanlah kami petunjuk dan Hidayahmu, ya Allah. Semoga kami menjadi hambamu yang soleh dan solehah.

Kau perkenankanlah segala doa doa ibu bapaku, suami, adik, saudara dan rakan-rakanku.

Murahkanlah rezeki kami sekeluarga khususnya. Kami bersyukur dengan segalanya yang telah Kau kurniakan. Yang baik mahupun yang buruk.

Semoga Kau berikan kekuatan dan kesabaran utk kami terutamanya ibu bapaku dan suamiku dalam menjalani pekerjaan seharian mereka. Tiada siapa yang pernah kulihat di depan mataku yang bekerja sekuat mereka tanpa pernah mengeluh. Tidak kira masa. Tidak pernah berputus asa mencari rezeki untuk keluarga walaupun mereka sepatutnya patut berehat.

Lindungilah kami daripada gangguan syaitan, lindungilah kami dari niat dan perbuatan buruk daripada mereka yang membenci dan menganiaya.

Ya Allah, jadikanlah aku anak, isteri, ibu, kakak, saudara dan rakan yag baik kepada mereka yag kusayangi. Jauhkanlah aku daripada perasaan benci, marah, cemburu, syak wasangka, dengki dan semua yang hanya menjejaskan hubungan kami. Terutamanya, jadikanlah aku hambaMu yang solehah dan patuh kepada arahanMu dan meninggalkan laranganMu.

Ya Allah, Ya Tuhanku...

Kau jadikanlah Anakku, Anak yang soleh, taat kepada suruhanMu dan ibubapanya. Semoga menjadi anak yang baik, bijak, rajin, tampan, sihat, berbudi pekerti, sabar, hormat dan dihormati, berjaya dan bertanggungjawab atas tugas dan tanggungannya. Mudah-mudahan menjadi seorang yang tidak akan lokek dengan pertolongan, harta dan ilmunya. Jauh sekali menjadi orang yang bongkak, tamak, terlalu mengejar duniawi dan kebendaan. Mintaku supaya aku dapat memberi dan menjadi apa sahaja yang dia perlukan untuk menjadi semua yang ku doakan dan apa yang dia inginkan, InsyaAllah. Moga-moga masa depannya cerah dan digunakan sebaik mungkin.

Ya Tuhanku,
Kau tolonglah panjangkan umur dan kesihatan serta rezeki yang murah kepada mereka yang telah banyak membantu aku dan juga keluargaku. Walaupun sekecil kuman pengorbanan dan pertolongan mereka, hanya Kaulah yang dapat membalas jasa baik yang setimpal.

Ya Allah, Ya Tuhanku...
Alhamdulillah atas limpah kurniaMu.

Kau ampunilah dosa-dosaku. Dosa ibu bapaku, suamiku, adik, anak, saudara, rakan dan seluruh umat Islam di dunia ini, ya Allah!


- Posted using BlogPress from my iPhone

No comments: